Vaksinasi sahaja tidak mampu lawan Omicron

STOCKHOLM: Agensi kesihatan Kesatuan Eropah (EU), Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) memberi amaran vaksinasi tidak akan menghentikan penularan varian Omicron, sebaliknya tindakan segera diperlukan.

Pengarah ECDC, Andrea Ammon, berkata dalam keadaan semasa, vaksinasi saja tidak dapat menghalang kesan varian Omicron kerana masih ada lagi mereka yang belum divaksinasi.

Katanya, tindakan tegas dengan segera perlu diambil untuk mengurangkan penularan dan meringankan beban pada sistem penjagaan kesihatan serta melindungi golongan rentan.

“Terdapat tanda-tanda bahawa penularan komuniti sudah berlaku di negara EU dan Kawasan Ekonomi Eropah (EEA) dan menunjukkan penularan pantas Omicron sedang berlaku,” katanya.

Agensi itu turut meningkatkan penilaian risiko Omicron terhadap kesihatan awam daripada ‘tinggi kepada sangat tinggi’ dan menggesa pemakaian pelitup muka, kebersihan tangan, penjarakan dan pencegahan orang ramai di ruang awam.

Sementara itu, Pesuruhjaya Kesihatan EU, Stella Kyriakides, berkata laporan daripada ECDC menunjukkan bahawa bulan-bulan akan datang menjadi lebih sukar.

Omicron mungkin akan datang dalam gelombang besar, membawa tekanan baharu pada sistem penjagaan kesihatan dan dos penggalak harus diberikan untuk mengelakkan perkara ini berlaku.

“Walaupun 66 peratus populasi EU sudah divaksin, namun masih ada negara ketinggalan di mana 50 peratus daripada populasi di empat negara anggota masih belum mendapat vaksin sepenuhnya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment