14 kes baharu Brunei Darussalam

BERAKAS 13 Dis. – Selepas merekodkan lima kes jangkitan harian Covid-19 yang terendah semalam, Brunei Darussalam hari ini mencatatkan 14 kes serta satu kluster (kediaman) baharu dengan tiga kes.

Menteri Kesihatan Dr Md Isham Jaafar berkata, dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 15,362 dengan 97 kluster aktif.

Katanya, terdapat tambahan lapan kes baharu pada empat kluster aktif yang sedia ada, pada hari ini, yang merupakan kontak terdekat bersama beberapa kes positif sebelumnya.

Menurut beliau, tiga kluster ditutup berikutan tiada kes baharu direkodkan dalam tempoh 28 hari manakala terdapat tiga kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Sebanyak 36 kes pula disahkan sembuh, pada hari ini, yang membawa jumlah kes yang sembuh, meningkat kepada 15,009 manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 253 kes.

Dr Md Isham berkata, satu kes adalah dalam Kategori 5, yang sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif dan memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) juga bantuan mesin tambahan Heart / Lung Machine (Extracorporeal Membrane Oxygenation – ECMO).

Katanya, tiada kes yang dikategorikan dalam Kategori 4, dalam kalangan kes-kes yang sedang dalam rawatan sekarang.

Beliau juga memberitahu dalam tempoh 24 jam lalu, sebanyak 1,406 sampel diuji, bagi virus SARS-CoV-2, yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 665,433 ujian.

 

Related posts

Leave a Comment