1.3 juta keluarga Singapura terima baucar

SINGAPURA 13 Dis. – Seramai 1.3 juta keluarga Singapura akan menerima baucar bernilai S$100 dalam bentuk digital yang boleh digunakan di pusat penjaja serta kedai-kedai di kawasan kejiranan yang mengambil bahagian dalam skim tersebut.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong melancarkan skim baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai S$130 juta itu dengan harapan ia satu “sumbangan muhibah yang akan membangkitkan semangat ketika masa sukar ini”.

Katanya, baucar ini adalah untuk menzahirkan penghargaan Pemerintah atas perpaduan semua orang tatkala tempoh mencabar ini.

“Baucar ini juga dapat membantu menampung perbelanjaan harian – makanan, barangan keperluan rumah serta khidmat penting dan pada masa sama

akan menyokong perniagaan kedai-kedai di kawasan kejiranan kita serta para penjaja yang terjejas teruk sewaktu pandemik ini.” kata Lee..

Ini adalah kali pertama baucar tersebut akan diagihkan secara digital kerana sebelum ini baucar fizikal digunakan.

Bagaimanapun bagi penduduk yang tidak memiliki telefon bimbit atau memerlukan akaun Singpass ataupun menukar kata laluan akaun Singpass mereka ada pilihan untuk mencetak salinan baucar tersebut.

Dalam pada itu, Lee berkata, Singapura sudah mula menyaksikan ‘tanda-tanda memberangsangkan’ dalam perjalanan menempuh Covid-19 tetapi belum terlepas dari cengkamannya.

“Lonjakan pada jumlah kes sepanjang tiga bulan lalu sudah merosot dan berkurangan. Kita sudah melindungi sistem jagaan kesihatan kita dan memastikan jumlah kematian kekal rendah,” katanya.

Beliau berkata, Singapura sedang bersiap sedia menghadapi kesan daripada varian Omicron.

“Dos penggalak akan menjadi bahagian penting dalam strategi kita. Kita belum lagi dapat mengatasinya, namun, kita yakin bahawa kita akan dapat mengawal Omicron kerana dengan adanya vaksinasi dan dos penggalak, kita berada di kedudukan yang lebih baik hari ini untuk menangani Covid-19.”, katanya.

Menurut Lee perjuangan melawan Covid-19 adalah satu perjalanan yang panjang dan berliku.

“Virus ini sudah beberapa kali membawa kejutan kepada kita dan kita perlu menyesuaikan respons kita setiap kali,” katanya.

(Foto Fb LHL)

Related posts

Leave a Comment