PUTRAJAYA 10 Julai – Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi ucapan sempena hari jadinya yang ke-99 hari ini.
“Saya amat menghargai ucapan-ucapan yang disampaikan dan saya harap kita semua akan terus sihat dan berjaya dalam aoa juga tugas yang kita jalankan. Terima kasih” katanya dalam satu video ringkas.
Dr. Mahathir yang berada di luar negara memberi ucapan itu sambil ditemani isterinya Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, yang akan genap usia 98 tahun Jumaat ini.
Dilahirkan di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah pada pada 10 Julai 1925, (tarikh kelahiran rasmi direkodkan 20 Disember 1925), beliau adalah anak bongsu daripada sembilan beradik kepada pasangan suami isteri, Mohamad Iskandar dan Wan Tempawan Wan Hanafi.
Sebelum berkecimpung dalam bidang politik, beliau memulakan kerjaya sebagai seorang doktor dan menubuhkan kliniknya sendiri, Klinik Maha, yang juga klinik swasta milik orang Melayu yang pertama di negara ini.
Beliau memasuki bidang politik pada 1964, bertanding dan memenangi kerusi Kota Setar pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1964.
Dr Mahathir dilantik menjadi Perdana Menteri ke-4 pada 16 Julai 1981, menyandang jawatan itu untuk tempoh yang paling lama dalam sejarah Malaysia dan Asia Tenggara, iaitu 22 tahun.
Beliau dikenali sebagai Bapa Pemodenan atas kejayaanya menukarkan Malaysia dari sebuah negara pertanian kepada negara perindustrian moden.
Berdasarkan biografi dalam laman web Pejabat Perdana Menteri, Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003.
Bagaimanapun pada 2016, Dr Mahathir muncul kembali dalam politik dengan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN).
Pada 2018, dalam satu kejutan politik, Bersatu dan parti-parti bersekutunya, memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Pada usia 93 tahun, Dr Mahathir sekali lagi dilantik menjadi Perdana Menteri ke-7.
Nnn
