Lebih 90 % kes ada kaitan Omicron

LEBIH daripada 90 peratus kes baharu di Afrika Selatan adalah berkaitan Omicron dan sehingga Khamis (9 Dis.), negara itu merekodkan 22,391 kes baharu, meningkat daripada kira-kira 200 kes sehari pada awal November.

Menurut pihak berkuasa Afrika Selatan, purata kes baharu harian bagi tujuh hari di negara itu meningkat sejak dua minggu lalu daripada 3,571 pada 25 November kepada 15,043 kes baharu sehari pada 9 Disember.

Namun, purata kematian harian tujuh hari di Afrika Selatan tidak meningkat sejak dua minggu lalu iaitu sekitar 0.03 hingga 0.05 kematian bagi setiap 100,000 orang.

Pihak berkuasa kawal selia Afrika Selatan sebelum ini meluluskan vaksin Pfizer sebagai suntikan penggalak, membuka jalan untuk dos ketiga diberikan bagi melawan lonjakan semasa.

Walaupun mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi dengan lebih 19 juta dos vaksin, kempen vaksinasi Afrika Selatan dilihat ketinggalan.

Lebih 14 juta individu di Afrika Selatan lengkap vaksin sepenuhnya, mewakili 36 peratus populasi dewasa dan kira-kira 24 peratus daripada jumlah penduduk.

Kadar vaksinasi yang perlahan menjadikan matlamat kerajaan untuk menyuntik 67 peratus penduduk menjelang Februari kelihatan tidak realistik.

Related posts

Leave a Comment