Bertindak segera bendung penularan

GENEVA: Bertindak segera bendung penularan virus Covid-19 varian Omicron dan percepatkan program vaksinasi. Demikian ingatan Ketua Pegarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Ghebreyesus.

Beliau memberi amaran, penularan sejagat Omicron membayangkan bahawa varian itu boleh memberi kesan besar kepada pandemik Covid-19.

Katanya, walaupun masih terlalu awal untuk menyatakan sejauh mana suntikan sedia ada akan menawarkan perlindungan terhadap varian baharu itu, sekarang adalah masanya untuk mengekang penularan varian itu.

Justeru dalam taklimat medianya, beliau menggesa pihak kerajaan negara-negara berkenaan yang kini dikesan di 57 negara mengambil tindakan segera sebelum lebih ramai pesakit Omicron dimasukkan ke hospital,

“Kami menyeru semua negara agar meningkatkan pengawasan, ujian dan penjujukan, dan sebarang sikap sambil lewa sekarang akan menyebabkan korban nyawa,” kata Tedros.

Sementara itu, Pengarah Program Kecemasan WHO, Mike Ryan berkata, memandangkan varian itu kelihatan lebih mudah menular, usaha harus diperhebat untuk memutuskan rantaian jangkitan.

WHO menarik perhatian kepada bukti awal daripada BioNTech dan Pfizer tentang keberkesanan vaksin mereka terhadap Omicron.

Syarikat Jerman dan AS itu menyatakan pada Rabu, tiga suntikan vaksin COVID-19 buatan mereka dapat meneutralkan varian Omicron baru dalam ujian makmal, manakala dua dos menghasilkan antibodi lebih rendah dengan faktor 25.

Bagaimanapun Ketua Saintis WHO Dr Soumya Swaminathan memberi amaran masih terlalu awal untuk menyimpulkan sama ada pengurangan antibodi peneutralan bermakna suntikan itu kurang berkesan.

“Kami masih tidak tahu kerana seperti yang anda tahu sistem imun adalah lebih rumit,” katanya.

“Jadi apa yang kita perlukan sekarang ialah untuk menyelaraskan usaha penyelidikan dan tidak membuat kesimpulan berdasarkan kajian satu persatu.” Kata nya.

Ketua unit penyelidikan dan pembangunan WHO, Ana Maria Henao-Restrepo, pula berkata mesyuarat tertutup melibatkan para pakar pada Isnin telah menyemak keputusan data awal berhubung keberkesanan vaksin terhadap Omicron.

“Antibodi peneutralan adalah satu maklumat penting, ia memainkan peranan penting dalam mengawal jangkitan, tetapi ia hanya sebahagian daripada perlindungan terhadap penyakit yang teruk,” jelasnya.

WHO juga berkata ia akan menerbitkan ulasan mengenai pendiriannya terhadap dos penggalak dalam masa beberapa hari akan datang.

Beliau menegaskan dengan kadar vaksinasi rendah yang membimbangkan di kebanyakan negara membangun, pengagihan dos asas – bukannya penggalak – kekal menjadi keutamaan WHO.

“Memborong dos penggalak bukanlah penyelesaiannya,” kata Dr Swaminathan.

Related posts

Leave a Comment