81.9 % penduduk Brunei lengkap vaksinasi

BERAKAS 7 Dis. – Seramai 352,186 orang melengkapkan dua dos vaksin Covid-19, iaitu 81.9 peratus daripada jumlah penduduk Brunei Darussalam manakala 404,451  lagi atau 94.1 peratus menerima satu dos setakat 5/Disember lalu.

Menteri Kesihatan Dr. Md. Isham Jaafar berkata, setakat pukul  3 petang semalam seramai 3,356 orang pelajar telah menerima dos kedua vaksinasi.

Katanya, Program Vaksinasi Kebangsaan Bagi Pelajar-Pelajar Berumur 12 hingga 17 tahun bermula 19 November dan dos kedua mulai 6 Disember yang bakal melibatkan 37,089 orang pelajar.

Beliau menyeru ibu bapa, penjaga dan pelajar yang telah menerima vaksinasi dos pertama untuk hadir mengikut jadual yang telah ditetapkan dalam buku vaksinasi, aplikasi BruHealth atau melalui pesanan ringkas (SMS) yang diterima.

Sementara itu mengenai 30 pelajar yang dijangkiti Covid-19  berada dalam keadaan yang baik.

Katanya,  ketika ini, seramai 11 orang ditempatkan di Pusat Pengasingan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) di Daerah Temburong manakala 19 orang lagi ditempatkan di Pusat Pengasingan Ma’had, Daerah Tutong.

Related posts

Leave a Comment