‘Resipi biak, menguatkan varian’

GENEVA: Dunia sedang mewujudkan situasi toksik untuk varian baharu Covid-19 seperti Omicron untuk muncul dan merebak ke seluruh dunia, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Katanya, gabungan liputan vaksinasi rendah dengan saringan sangat rendah bagi mengesan virus menyumbang kepada kemunculan varian baharu di seluruh dunia.

Beliau menegaskan langkah menghentikan varian Delta yang dominan di seluruh dunia juga akan dapat menghalang Omicron.

“Kita perlu menggunakan pendekatan sedia ada untuk mencegah penularan dan menyelamatkan nyawa daripada Delta. Jika kita berbuat demikian, kita juga akan menghalang penularan dan menyelamatkan nyawa daripada Omicron,” katanya.

Bagaimanapun jika negara dan individu tidak melakukan apa yang mereka perlu lakukan untuk menghentikan penularan Delta, mereka juga tidak akan menghentikan Omicron.

“Secara global, kita berdepan keadaan toksik gabungan liputan vaksin rendah dan ujian yang sangat rendah – resipi untuk membiak dan menguatkan varian.

“Itulah sebabnya kami terus menggesa negara untuk memastikan akses yang saksama kepada vaksin, ujian dan terapeutik di seluruh dunia,” katanya.

Omicron pertama kali dilaporkan kepada WHO dari Afrika Selatan pada 24 November, manakala kes pertama yang disahkan makmal dikenal pasti daripada spesimen yang dikumpul pada 9 November.

Belanda pada Selasa menemui varian dalam dua sampel yang diambil pada 19 dan 23 November dengan satu daripadanya daripada individu yang mengunjungi selatan Afrika dan satu lagi tidak mempunyai sejarah perjalanan.

Tedros berkata WHO memandang serius kemunculan Omicron tetapi menegaskan mutasi itu “tidak sepatutnya mengejutkan kita. Inilah yang dilakukan oleh virus.

“Dan itulah yang akan terus dilakukan oleh virus selagi kita membenarkannya terus merebak.”

Tedros berkata Omicron berada di sekurang-kurangnya 23 negara dengan jumlah itu dijangka meningkat.

Sementara itu Maria Van Kerkhove yang mengetuai pasukan teknikal Covid-19 WHO, berkata garis masa sekitar pengesanan pertama Omicron mungkin berubah kerana terdapat tunggakan penjujukan kes yang berlaku pada November.

Katanya,  WHO masih belum mengetahui sebarang kematian yang berkaitan dengan Omicron.

Related posts

Leave a Comment