Agong minta rakyat berwaspada

KUALA LUMPUR 1 Dis. – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan kegusaran terhadap penularan varian baharu Covid-19, Omicron yang mula merebak di banyak negara di seluruh dunia.

Baginda menzahirkan kebimbangan itu susulan keputusan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), baru-baru ini mengkategorikan Omicron sebagai ‘varian of concern’, yang diklasifikasikan lebih berbahaya dan cepat merebak berbanding varian terdahulu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata, menurut WHO varian Omicron juga mempunyai risiko yang lebih tinggi bagi jangkitan semula berbanding varian lain.

Katanya, mutasi Omicron juga berpotensi mengurangkan keberkesanan vaksin.

“Ekoran daripada perkembangan terkini itu, Yang di-Pertuan Agong menasihati seluruh rakyat untuk terus beristiqamah dalam kawalan kendiri dan berdisiplin dalam memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Yang di-Pertuan Agong juga menyeru rakyat sentiasa berwaspada dan tidak alpa dalam menjalankan aktiviti-aktiviti harian dengan norma baharu bagi memastikan penularan wabak Covid-19, khususnya Omicron dapat dibendung walaupun tiada kes varian itu dilapor di Malaysia.

Baginda turut menasihati rakyat supaya melengkapkan suntikan dos vaksin Covid-19 dan mendapatkan dos penggalak bagi melindungi dan memelihara kesihatan serta keselamatan diri, ahli keluarga tersayang dan masyarakat.

Kata Ahmad Fadil lagi, baginda turut bertitah agar rakyat melaksanakan tanggungjawab sosial iaitu dengan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika bergejala, malah mengasingkan diri jika disahkan positif atau ditakrif sebagai kontak rapat meskipun tidak bergejala.

“Baginda berpandangan bahawa pengorbanan dan usaha-usaha kita bersama pihak berkuasa serta petugas barisan hadapan selama ini dalam memerangi Covid-19 akan menjadi sia-sia sekiranya negara menghadapi ancaman gelombang baharu penularan wabak itu,” katanya.

Ahmad Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan sokongan penuh terhadap tindakan tegas kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan, kawalan sempadan dan survelan Covid-19 bagi pengembara yang tiba di pintu masuk, khususnya bagi negara yang melaporkan varian Omicron.

Baginda juga yakin bahawa dengan kerjasama dan komitmen tinggi antara rakyat serta kerajaan, penularan jangkitan Covid-19 khususnya varian baharu itu dapat dikekang demi keselamatan diri serta kesejahteraan negara dicintai.

“Baginda mengajak rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar rakyat Malaysia serta negara sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya

Related posts

Leave a Comment