Kes harian lepasi 5,000

PUTRAJAYA 1 Dis. – Jumlah kes harian Covid-19 di negara ini kembali melepasi 5,000 dengan 5,439 kes baharu dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari ini menjadikan . jumlah keseluruhan penularan wabak berkenaan kini mencecah 2,638,221 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 5,418 kes membabitkan penularan tempatan, manakala 21 lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Sebelum ini, dalam tempoh 23 November hingga 27 November, jumlah kes yang direkodkan adalah lebih 5,000 kes sehingga mencecah 6,144 pada 25 November tetapi turun kepada 4,239 (28 Nov.), 4,087 (29 Nov.) dan semalam 4,879.

Daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini, 5,334 kes terdiri pesakit Covid-19 kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

“Sejumlah 105 kes bersamaan 1.9 peratus pula pesakit kategori tiga hingga lima iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan alat bantuan pernafasan dan kritikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhannya daripada jumlah kes aktif di negara ini, sebanyak 500 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) membabitkan 400 kes disahkan Covid-19 dan 100 lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

“Bagi kes dirawat di ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, sehingga kini terdapat 258 kes iaitu 161 kes disahkan Covid-19 dengan 97 kes lagi masih disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan,” katanya.

Sehingga kini terdapat 226 kluster penularan Covid-19 yang masih aktif di negara ini termasuk enam kluster yang dilaporkan hari ini manakala kes sembuh meningkat kepada 2,544,007 berikutan 6,803 lagi sembuh.

Related posts

Leave a Comment