Dua minggu kumpul maklumat Omicron

WASHINGTON: Dua minggu masa diambil untuk mengumpul maklumat pasti berkaitan varian baharu koronavirus Covid-19, Omicron, kata pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci.

Beliau memaklumkan perkara itu kepada Presiden AS, Joe Biden yang menghadiri taklimat yang disampaikan oleh pasukan respons koronavirusnya kelmarin.

Para pegawai AS menjangka varian baharu ini menular ke negara itu, meskipun ada larangan ke atas pengembara dari selatan Afrika, tempat Omicron kali pertama dikesan baru-baru ini.

Dr Fauci berkata beliau percaya vaksin sedia ada berupaya “memberi perlindungan daripada jangkitan buruk Covid”, dan pegawai AS mengulangi saranan agar penduduk negara itu mendapatkan suntikan penggalak.

Amerika memuji Afrika Selatan kerana segera mengenal pasti varian baharu Covid-19 itu dan berkongsi maklumat tersebut dengan dunia.

Jabatan Negara Amerika memaklumkan bahawa Setiausaha Negara, Antony Blinken, bercakap dengan menteri hubungan antarabangsa dan kerjasama, Naledi Pandor, serta berbincang mengenai kerjasama dalam pemberian vaksin Covid-19 kepada rakyat Afrika.

“Setiausaha Blinken secara khusus memuji saintis Afrika Selatan kerana pengesanan pantas varian Omicron dan pemerintah negara itu kerana ketelusannya dalam berkongsi maklumat, yang harus menjadi model kepada dunia,” katanya.

Di bawah pentadbiran Donald Trump sebelum ini dan kini Presiden Joe Biden, Amerika berulang kali mengkritik China kerana tidak mendedahkan asal usul coronavirus yang pertama kali dikesan pada Disember 2019 di bandar Wuhan, sebelum ia merebak ke seluruh dunia dan kini membunuh hampir 5.2 juta orang.

Related posts

Leave a Comment