Kes pertama hari pertama VTL

SHAH ALAM 29 Nov. – Satu kes positif Covid-19 dikesan pada hari pertama Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kes positif itu dikesan pagi tadi, menerusi saringan yang dijalankan di pintu masuk Malaysia.

Katanya, tindakan cepat dan pantas sedemikian penting bagi memastikan penularan jangkitan, termasuk daripada risiko varian baharu, Omicron berupaya ditangani sepenuhnya.

Beliau berkata, Kementerian membuat semua keputusan bersandarkan sains, justeru kementerian tegas untuk tetap melaksanakan saringan apabila mereka tiba di pintu masuk negara.

“Walaupun mereka yang masuk menerusi VTL dikehendaki membuat saringan 72 jam sebelum hari perjalanan, tetapi ia masih membuka ruang kepada pelbagai kemungkinan.

Keputusan ini terbukti tepat apabila kita kesan satu kes positif pagi ini bila tiba di Malaysia,” katanya pada ucaptama Majlis Penghargaan Petugas Barisan Hadapan Covid-19 Institut Kesihatan Negara (NIH) – Kementerian Kesihatan (KKM), di sini, hari ini.

Sementara itu Khairy berkata semua  jenis saringan, termasuk menggunakan kit ujian pantas (RTK) antigen berupaya mengesan kes positif berikutan jangkitan varian baharu Covid-19, Omicron.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan pakar daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), dengan mengambil kira mekanisme fungsi RTK antigen dan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR).

Katanya , semua jenis saringan masih berupaya mengesan Omicron kerana ujian dibuat bersandarkan kehadiran nukleokapsid atau litupan protein yang mengandungi genom virus Covid-19.

Walaupun Omicron dikatakan mempunyai mutasi 32 protein pepaku, ia setakat ini tidak membawa apa-apa perubahan atau kesan terhadap keberkesanan dan ketepatan ujian saringan.

“Sebarang perincian lanjut berhubung perkara ini akan diketahui dan dimaklumkan kelak, memandangkan Omicron masih menjadi mutasi baharu serta banyak aspek yang kita tidak tahu mengenainya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment