PUTRAJAYA 22 Nov. – Kes harian Covid-19 di negara ini kekal di bawah 5,000 kes dengan 4,885 kes dicatatkan setakat pukul 12 tengah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.
Bagaimanapun ia menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 4,854 semalam termasuk 12 kes import manakala kes import hari ini meningkat kepada 18.
Dengan perkembangan itu, jumlah keseluruhan kes yang direkodkan setakat ini adalah 2,591,486 orang sudah dijangkiti virus berkenaan sejak pandemik dilaporkan di negara ini.
Daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini, sebanyak 4,794 kes atau 98.1 peratus terdiri daripada pesakit dalam kategori satu dan dua dengan 1.9 peratus bersamaan 91 kes adalah dalam kategori tiga hingga lima.
Secara keseluruhannya, daripada jumlah kes aktif di negara ini terdapat 549 kes kini berada di unit rawatan rapi (ICU) membabitkan 437 kes disahkan COVID-19 dengan 112 kes lagi adalah disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.
Dalam satu kenyataan, beliau memaklumkan bagi kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat 274 kes iaitu 184 kes disahkan dijangkiti Covid-19 manakala 90 kes disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.
Menurut Dr Noor Hisham, pihaknya turut mengesan tujuh kluster penularan Covid-19 yang baharu dan menjadikan sehingga kini terdapat 233 kluster yang masih aktif di negara ini.
Mengenai kes sembuh hari ini, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 5,628 kes dilaporkan yang menjadikan sehingga kini 2,493,437 pulih sepenuhnya daripada wabak berkenaan.
