Korea Selatan lapor 3,292 kes

SEOUL 18 Nov. – Korea Selatan melaporkan 3,292 kes baharu Covid-19, ketika negara itu bergerak ke fasa pertama ‘hidup bersama Covid-19’ dengan langkah-langkah sekatan dilonggarkan.

Angka pada hari Rabu itu adalah yang tertinggi sejak permulaan pandemik Covid-19 dan daripada jumlah itu, 506 dalam keadaan kritikal.

Menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) jumlah kes yang meningkat itu diramalkan berlaku oleh pegawai dan pakar setelah sebahagian besar sekatan jarak selamat dilonggarkan pada awal bulan ini.

Ini setelah negara itu melepasi sasaran memberi vaksin kepada 70 peratus daripada 52 juta penduduk.

Lebih 78.5 peratus penduduk kini sudah lengkap divaksin, termasuk lebih daripada 90 peratus golongan dewasa.

KDCA menyatakan jumlah kes serius juga meningkat disebabkan kesan perlindungan daripada vaksin koronavirus yang semakin merosot dalam golongan mudah terjejas seperti warga emas pada awal tempoh pemberian vaksin, sekali gus menyebabkan jumlah kes jangkitan baru meningkat.

Setakat Khamis (18 Nov), terdapat 506 kes serius, merosot sedikit berbanding jumlah rekod 522 yang dilaporkan sehari sebelumnya.

Bagi membendung lonjakan itu, KDCA menyatakan pada Rabu jarak waktu bagi dos penggalak dipendekkan kepada empat bulan bagi penduduk berusia 60 tahun dan ke atas serta mereka yang bekerja atau tinggal di rumah jagaan dan kemudahan mudah terjejas yang lain.

Related posts

Leave a Comment