Malaysia meterai VTL

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Malaysia akan memeterai Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) bersama beberapa negara lain, dengan berkonsepkan pembukaan sempadan secara lebih selamat bagi merancakkan ekonomi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata perbincangan  giat dilakukan bersama rakan sejawatan beberapa negara seperti Brunei dan Thailand.

Kemudahan VTL pertama dilaksanakan Malaysia iaitu dengan Singapura pada 29 November ini menerusi pengangkutan udara, sebelum disusuli laluan darat manakala

VTL di antara Kuala Lumpur-Jakarta memasuki fasa rundingan asas.

Menurut Khairy, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia, Joko Widodo secara prinsipnya mengumumkan VTL di antara Kuala Lumpur dan Jakarta serta Kuala Lumpur dan Bali pada pertemuan mereka baru-baru ini.

“Saya juga sudah berbincang dengan rakan sejawat (Menteri Kesihatan Indonesia) untuk memastikan kita boleh bersetuju dalam beberapa hal teknikal mengenainya.

Saya turut berhubung dengan rakan sejawat di Thailand dan harap dapat laksanakan VTL serupa tidak lama lagi antara Kuala Lumpur dan Bangkok dan lain-lain destinasi di Malaysia dan Thailand,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pelancaran Destinasi Rawatan untuk Hepatitis C, sempena InsigHT2021, di sini.

Khairy berkata, kerajaan juga berhasrat membuka sempadan negara, menerusi pendekatan VTL membabitkan beberapa rakan niaga utama dan negara sasaran bagi sektor pelancongan kesihatan.

Ia antara lain merangkumi Jepun, Korea Selatan, China, Australia, New Zealand dan United Kingdom serta negara Eropah lain.

Related posts

Leave a Comment