Fokus bendung pandemik berhasil

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Fokus utama kerajaan untuk membendung penularan pandemik Covid-19 mula membuahkan hasil berkat kerjasama semua pihak dan pelaksanaan strategi yang berkesan.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menjadi pemangkin kepada usaha pemulihan ekonomi dengan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial termasuk pergerakan merentas negeri.

Katanya, selain berjaya memberi vaksin kepada lebih 95 peratus populasi dewasa dan lebih 66 peratus populasi remaja setakat 2 November, kes jangkitan harian Covid-19 juga berjaya diturunkan dan memberi kelegaan kepada rakyat serta petugas barisan hadapan.

Secara umumnya dari segi psikologi, rakyat kini berasa lebih positif kerana telah dapat memulakan semula kehidupan seharian.

“Walau bagaimanapun kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa pandemik dan bersiap sedia memperkenalkan langkah-langkah tertentu demi memelihara nyawa rakyat dan ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tahun 2021 di Istana Negara, di sini, hari ini.

Ismail Sabri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas pengorbanan petugas barisan hadapan serta sokongan dan dukungan semua lapisan masyarakat dalam membantu kerajaan memerangi pandemik Covid-19.

“Kerajaan juga amat bersimpati dan merakamkan ucapan takziah kepada mereka yang telah kehilangan ahli keluarga akibat pandemik ini. Sesungguhnya kehilangan ini amat menyedihkan,” katanya.

Perdana menteri berkata kerajaan akan memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan tanpa mengira kaum, bangsa mahupun agama dan untuk tujuan itu, kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk konsep Keluarga Malaysia.

Beliau berkata konsep Keluarga Malaysia sebagai pendekatan pentadbiran negara bersifat inklusif merentasi kepelbagaian dalam kalangan masyarakat Malaysia yang mengajak seluruh rakyat bersama-sama menggembleng tenaga bagi membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19 khususnya memulihkan ekonomi.

Menurutnya, konsep itu telah mendapat maklum balas serta penerimaan positif dalam kalangan rakyat dan ia akan dijadikan falsafah baharu dalam pentadbiran negara.

Related posts

Leave a Comment