PH lancar pelan tindakan

MELAKA 11 Nov. – Pakatan Harapan (PH) hari ini melancarkan Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan, khusus bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Calon Ketua Menteri PH, Adly Zahari berkata, pelan tindakan itu mempunyai tiga teras utama iaitu Melaka Sejahtera, Melaka Makmur dan Melaka Stabil.

Menurut Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu, di bawah teras tersebut, terdapat enam strategi dan 32 inisiatif yang merangkumi pengurusan Covid-19, kesejahteraan dan kehidupan rakyat, peluang pekerjaan, pelaburan ekonomi dan pentadbiran yang telus.

“Antara persoalan paling penting dalam kita mendepani isu-isu kesihatan, ekonomi dan kestabilan, maka pelaksanaan teras ini ditulis sebagai pelan tindakan kerana selepas daripada mandat diperolehi diberikan rakyat..

“.. tugas utama kepimpinan Pakatan Harapan di peringkat Melaka, bertindak memastikan kesejahteraan, kemakmuran dan kestabilan politik negeri ini dapat kita jayakan,” katanya  ketika berucap di Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Maju Bersama PH, di sini hari ini.

Antara yang tergaris dalam teras pertama ialah Dana Khas Covid-19 Melaka, Kad Melaka Sihat dan First Point Support khusus bagi membantu mangsa keganasan rumah tangga.

Di bawah teras dua iaitu Melaka Makmur pula, Adly berkata, PH akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu di pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat berkaitan kerajaan, di bawah Skim Peluang Pekerjaan Rakyat (SPPR).

Selain itu terdapat dana pemulihan sektor pelancongan untuk memulihkan sektor utama negeri itu dengan diskaun bayaran lesen perniagaan dan Skim Mikrokredit Harapan sehingga RM5,000 untuk usahawan dan usahawanita.

Di bawah teras Melaka Stabil pula, Adly berkata, PH akan melaksanakan reformasi pentadbiran bagi menjamin kerajaan melaka yang stabil, adil, telus dan berintegriti.

Related posts

Leave a Comment