41 kes baharu di Brunei

BERAKAS 9 Nov. – Brunei Darussalam merekodkan 41 kes baharu Covid-19 termasuk satu kes import dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan 13,905 kes, kata Menteri Kesihatan Dr Md Isham Jaafar.

Katanya, dalam tempoh yang sama, tiga kluster baharu berkaitan tempat kediaman termasuk asrama pekerja dikesan melibatkan 23 kes menjadikan jumlah kluster aktif setakat ini sebanyak 177.

Bercakap pada satu sidang media petang ini, Dr Isham berkata, terdapat enam tambahan kes bagi lima kluster aktif sedia ada yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif sebelum ini.

Sebanyak 11 kes masih dalam siasatan bagi mengenal pasti punca jangkitan manakala satu kes import pula melibatkan ketibaan dari Manila menggunakan Penerbangan Diraja Brunei pada 3 November lalu.

Beliau juga memaklumkan tiga kluster ditutup – Kluster Ops Pengkalan Gadong ; Kluster 6601 dan Kluster 7302 – selepas tiada sebarang kes baharu dilaporkan dalam tempoh 28 hari

“Sebanyak 108 kes dilaporkan sembuh hari ini yang membawa kepada jumlah keseluruhan sembuh 13,008 dengan 803 kes aktif,” katanya.

Dalam kalangan kes-kes yang sedang dalam rawatan, tujuh kes adalah dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif.

Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan satu daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan Heart / Lung Machine (ExtraCorporeal Membrane Oxygenation – ECMO).

Empat kes lain dikategorikan dalam Kategori 4, iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Dalam tempoh 24 jam lalu, sebanyak 4,682 sampel, diuji bagi virus SARS-CoV-2, yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 539,956.

Related posts

Leave a Comment