CDC AS sokong guna Pfizer-BioNTech

PENASIHAT Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) menyokong penggunaan meluas vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech pada kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun yang disifatkan faedah melebihi risiko.

Sebelum ini perbincangan penasihat terarah kepada kes keradangan jantung yang jarang berlaku dikaitkan dengan vaksin terutamanya lelaki muda.

Jumaat lalu, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS memberikan kebenaran penggunaan kecemasan vaksin pada kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

FDA membenarkan dos 10 mikrogram vaksin Pfizer pada kanak-kanak kecil.

Dos asal yang diberikan kepada mereka yang berumur 12 tahun ke atas ialah 30 mikrogram.

Kemasukan ke hospital kanak-kanak telah meningkat semasa gelombang baru-baru ini yang didorong oleh varian Delta.

Kerajaan AS dan Pfizer telah mula mengedarkan vaksin itu sebagai persediaan untuk pelancaran meluas untuk kanak-kanak yang kebanyakannya kembali ke sekolah untuk pembelajaran secara bersemuka.

Awal minggu ini, White House berkata AS mempunyai bekalan vaksin Pfizer-BioNTech yang mencukupi untuk semua 28 juta kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

Hanya beberapa negara lain, termasuk China, Cuba, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia setakat ini membenarkan penggunaan vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak dalam kumpulan umur ini dan lebih muda.

Related posts

Leave a Comment