Pelawat perlu buktikan vaksinasi

SINGAPURA 30 Okt. – Pelawat yang berkunjung ke Singapura perlu memuat turun aplikasi TraceTogether dan membuat pendaftaran menggunakan nombor pasport mereka bagi memudahkan perjalanan di negara itu.

Aplikasi itu membolehkan pelawat membuktikan vaksinasi dan memasuki tempat seperti hotel, pusat beli-belah, restoran dan daya tarikan pelancong – atau mana-mana tempat di bawah langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi.

Pelawat harus menunjukkan bukti vaksinasi kepada pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di pusat pelepasan imigresen pada ketibaan.

Bukti vaksinasi itu harus disediakan dalam bentuk dokumen vaksinasi yang asli yang secara jelas memaparkan jenis vaksin yang diambil dan tarikh ia diambil.

Dokumen juga harus dalam Bahasa Inggeris atau dialih bahasa kepada Bahasa Inggeris oleh seorang penyedia khidmat pengalih bahasa, kedutaan atau notari awam.

Sebaik sahaja ia disahkan, rekod vaksinasi mereka akan dimasukkan ke dalam aplikasi TraceTogether atau HealthHub.

Untuk rekod, setakat 28 Oktober, Singapura mengumumkan laluan perjalanan penumpang yang sudah divaksin (VTL) bersama 13 negara. Pelawat perlu memasuki Singapura menggunakan penerbangan khas.

Mereka juga harus lengkap disuntik dengan vaksin di bawah senarai kegunaan kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tiba di Singapura.

Kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah yang belum divaksin dibenarkan untuk melakukan perjalanan ke Singapura melalui VTL selagi mereka ditemani seorang pelawat yang lengkap divaksin.

Laluan perjalanan yang sudah dibuka adalah bersama Brunei, Kanada, Denmark, Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

VTL akan diperluas kepada pelawat dari Australia dan Switzerland pada 8 November dan kepada Korea Selatan pada 15 November.

Bagi Australia, perjalanan dua hala itu akan hanya dibuka kepada rakyat yang sudah lengkap divaksin, penduduk tetap dan keluarga mereka disebabkan oleh sekatan sempadan di negara itu.

Di bawah skim VTL, pelawat harus kekal berada di satu atau lebih negara-negara VTL sepanjang tempoh 14 hari sebelum berlepas ke Singapura.

Related posts

Leave a Comment