78 kematian termasuk 17 BID

PUTRAJAYA 23 Okt. – Kes kematian harian akibat jangkitan Covid-19 di negara ini kekal bawah 100 apabila 78 kes direkodkan semalam termasuk 17 membabitkan kematian di luar fasiliti kesihatan atau brought-in-dead (BID).

Data Kementerian Kesihatan di portal COVIDNOW menunjukkan, setakat semalam, jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 mencecah 28,312 atau kira-kira 1.2 peratus daripada keseluruhan 2,408,431 kes positif di Malaysia.

Jumlah keseluruhan kes BID pula meningkat kepada 5,718, iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan kematian akibat Covid-19.

Sementara itu, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU) terus mencatat penurunan sejak awal September lalu.

Terdapat 643 kes aktif di ICU seluruh negara ketika ini, berbanding lebih 1,500 pada hujung Ogos lalu.

Ketika ini, kadar penggunaan ICU di hospital kerajaan seluruh negara ialah 60.4 peratus, kecuali empat negeri masih melebihi 70 peratus iaitu Sarawak 77.7 peratus, Kelantan 74.2 peratus, Perak 71.3 peratus dan Putrajaya 70.0 peratus.

Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan turut mencatat penurunan sejak dua bulan lalu dengan mencatat 320 kes setakat semalam berbanding lebih 900 kes pada awal Ogos lalu.

Related posts

Leave a Comment