Makan ramai-ramai cetus kluster

KOTA KINABALU 21 Okt. – Satu kluster baharu – Kluster Kampung Bawan dikesan hasil aktiviti berkumpul dan makan beramai-ramai di rumah berkaitan tempat kerja yang membabitkan klinik kerajaan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Masidi Manjun, berkata kluster di daerah Beaufort itu membabitkan jangkitan di rumah keluarga kes indeks di Kampung Bawan, seminggu sebelum dikesan positif.

Kes indeks adalah petugas kesihatan, iaitu lelaki berusia 31 tahun dan tinggal di kuarters kerajaan bersama rakan apabila bertugas atas panggilan.

Beliau disahkan positif pada 7 Oktober di Klinik Kesihatan Membakut, selepas demam dan batuk sejak 4 Oktober lalu.

“Hasil saringan kontak rapat, seramai 24 ahli keluarga dan 10 rakan setugas didapati positif. Antara 7 Oktober sehingga 21 Oktober lalu, sebanyak 34 kes termasuk dua kes baharu hasil saringan ke atas 51 kontak dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Masidi berkata, satu lagi kluster dikesan di daerah sama iaitu Kluster Kampung Batu 66 membabitkan kes indeks seorang wanita tempatan berusia 36 tahun yang disahkan positif pada 8 Oktober.

Katanya, jangkitan dipercayai berpunca daripada kenduri kematian hari ke-40 mendiang bapa kepada kes indeks pada 4 Oktober lalu di Kampung Batu 66 dan dihadiri keluarga serta jiran terdekat.

“Majlis pengebumian pada 11 Oktober turut dipercayai menyumbang kepada peningkatan jumlah kes positif Covid-19 dalam kalangan komuniti.

“Majoriti kes positif membabitkan ahli keluarga dan tetamu sekitar Mukim Montenior. Bermula 8 sehingga 21 Oktober, sebanyak 29 kes termasuk dua kes baharu dikesan daripada 36 kontak disaring,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 651 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 212,329 kes.

Sebanyak 16 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu enam kes di Tawau, dua di Lahad Datu manakala Semporna,Ranau, Kota Marudu, Kota Kinabalu, Keningau, Beluran, Tuaran dan Tenom masing-masing mencatatkan satu kes kematian.

Bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 541 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 201,466 orang.

Manakala 2,051 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 785 orang di hospital, 1,241 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 23 orang di Pusat Tahanan Sementara(PTS) / Penjara manakala dua (2) orang di fasiliti swasta.

Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 98 orang merangkumi 94 di ICU/repurposed kritikal care serta empat (4) di open ward (HDW/kubikel akut) dan 30 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated). Manakala bilangan pesakit stage empat (4) dan lima (5) yang masih belum lengkap vaksin ialah 151 (48.87%).

Related posts

Leave a Comment