Harga lantai ibadah umrah RM6,000

PUTRAJAYA 17 Okt. – Harga lantai ibadah umrah sebanyak RM6,900 bagi tempoh 12 hari dan 10 malam yang ditetapkan baru-baru ini adalah hasil perbincangan dengan persatuan khidmat pelancongan dan umrah.

Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), kadar baharu itu selepas mengambil kira perkembangan semasa terutama peningkatan kos berikutan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di pihak Arab Saudi dan Malaysia.

Antara faktor yang mempengaruhi peningkatan kos adalah bilangan kapasiti di dalam bilik penginapan di Arab Saudi, kapasiti pengangkutan yang membenarkan 50 peratus dari kapasiti sebenar, pengurusan mutawif dan ujian calitan Covid-19.

Menurut kenyataan kementerian itu, harga lantai ini akan disemak semula apabila wabak Covid-19 diisytiharkan berakhir dan keadaan sudah kembali normal selain kekangan SOP tidak lagi dilaksanakan Malaysia dan Arab Saudi.

Kali terakhir kadar harga lantai kos ibadah umrah ditetapkan ialah pada tahun 2016 iaitu pada paras harga RM4,900.

Kenyataan itu berkata, harga lantai itu adalah panduan bagi pihak kementerian melaksanakan pemantauan terhadap industri umrah, manakala orang ramai boleh menjadikannya sebagai panduan dalam membuat pertimbangan untuk memilih syarikat mana yang sesuai dengan bajet mereka.

Kementerian menasihatkan bakal jemaah mengambil langkah berhati-hati jika mendapati harga ditawarkan terlalu rendah atau terlalu tinggi daripada yang ditetapkan bagi mengelak kes penipuan.

Sementara itu, bagi menangani kes penipuan pakej umrah, kementerian mewajibkan syarikat yang dilesenkan perlu memohon kebenaran bagi mengiklankan promosi umrah.

Katanya, ia selaras dengan Peraturan 6(1A)(a), Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) iaitu pengendali pelancongan berlesen tidak boleh mengiklankan pakej yang ditawarkan tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan.

Related posts

Leave a Comment