Australia buka semula sempadan Nov

CANBERRA 1 Okt. – Selepas ditutup selama 18 bulan, Australia akan membuka semula sempadannya kepada perjalanan antarabangsa mulai bulan depan, sebulan lebih awal.

Perdana Menteri Australia Scott Morrison berkata bahawa sekatan perjalanan itu akan dimansuhkan apabila sasaran vaksinasi sepenuhnya mencapai 80 peratus, iaitu diramalkan akan dicapai menjelang bulan depan.

“Kami boleh membuka semula sempadan antarabangsa dan akan membolehkan rakyat Australia yang sudah divaksin sepenuhnya, serta penduduk Australia di luar negara yang sudah menerima vaksinasi sepenuhnya, kembali melakukan perjalanan,” kata Scott Morrison dalam satu kenyataan media.

Sekatan perjalanan di lapangan terbang wilayah-wilayah yang sudah memasuki Fasa C (program pembukaan semula) juga akan dimansuhkan.

Apabila perubahan itu bermula, rakyat dan Penduduk Tetap Australia yang sudah lengkap mendapat suntikan vaksin-vaksin yang diluluskan kerajaan negara itu perlu menjalani kuarantin selama tujuh hari apabila tiba di Australia.

Vaksin-vaksin yang diluluskan itu termasuk Sinovac dan Covid Shield yang diguna di China, India dan negara-negara Asia Tenggara.

Bagi mereka yang sudah disuntik dengan vaksin lain yang tidak diluluskan Australia, mereka perlu menjalani kuarantin selama dua minggu.

Beliau berkata sudah tiba masanya untuk mengembalikan kehidupan biasa rakyat Australia.

Related posts

Leave a Comment