11,710 kes kategori 1 & 2

PUTRAJAYA 1 Okt. – Hanya 1.5 peratus atau 179 daripada 11,889 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, terdiri daripada individu dalam kategori tiga, empat dan lima.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata baki 11,710 kes atau 98.5 peratus pula terdiri daripada mereka dalam kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua atau bergejala ringan.

Kategori tiga adalah mereka yang mempunyai radang paru-paru, empat memerlukan bantuan oksigen dan lima memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada jumlah kes baharu itu, 11,875 kes melibatkan penularan dalam negara membabitkan 11,000 warganegara dan 875 rakyat asing manakala 14 kes adalah kes import (enam warganegara, lapan rakyat asing).

Beliau berkata sebanyak 15,891 kes sembuh hari ini dengan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini kini 2,070,715 iaitu 91.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19

Dr Noor Hisham berkata terdapat 904 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 850 yang disahkan positif Covid-19 manakala 54 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Sebanyak 492 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 380 yang disahkan positif Covid-19 manakala 112 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Beliau turut memaklumkan 14 kluster baharu dikesan dengan tujuh daripadanya membabitkan penularan di tempat kerja manakala enam berkaitan penularan dalam komuniti dan satu kluster keagamaan.

Related posts

Leave a Comment