Solat ikut kapasiti masjid, surau

PUTRAJAYA 30 Sept. – Mulai esok 1 Oktober  semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dibenarkan menunaikan solat Jumaat serta solat fardu secara berjemaah mengikut kapasiti keluasan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail, berkata, kehadiran jemaah dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

Menurutnya, kebenaran itu bagi menjunjung titah perkenan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaras dengan perkembangan terkini Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, semua masjid dan surau juga dibenarkan melaksanakan aktiviti lain seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh, kuliah Dhuha, kuliah Zohor, tazkirah sebelum solat Jumaat, Tadarus Al-Quran, kuliah muslimat, bacaan yasin, tahlil, program zikir munajat dan doa tertakluk kepada SOP ditetapkan.

Mohd Ajib berharap umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan terus mematuhi SOP ditetapkan dan memanfaatkan peluang ini untuk mengimarahkan masjid dan surau serta bermunajat dan berdoa penularan wabak COVID-19 segera berakhir.

Media kelmarin melaporkan, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik bersetuju membenarkan peralihan fasa PPN bagi Lembah Klang, Melaka dan Kedah berkuat kuasa 1 Oktober ini.

Related posts

Leave a Comment