KUCHING 26 Sept. – Sarawak akan menjadi negeri terawal diberi suntikan penggalak vaksin Covid-19 apabila penduduknya yang sudah menerima dua dos akan diberi suntikan ketiga bulan depan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pada peringkat awal, dos penggalak itu akan diberikan kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi yang serius.
” Golongan ini yang mengalami gejala-gejala serius yang memerlukan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan kemungkinan meninggal dunia.Kita akan mulakan Oktober ini sebaik sahaja garis panduan klinikal untuk dos penggalak siap,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Imunisasi dan Pengurusan Pandemik bersama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, di sini.
Khairy bagaimanapun tidak menolak kemungkinan dos penggalak itu akan diberikan kepada mereka yang berusia bawah 60 tahun dan sihat pada masa akan datang.
“Kita tidak menolak kemungkinan bahawa mereka yang berusia bawah 60 tahun dan sihat boleh nanti diberikan dos penggalak tetapi fokus kita pada ketika ini adalah golongan berisiko tinggi yang lebih cenderung dimasukkan ke ICU dan meninggal.
“Di negara-negara lain juga amalannya sama, (dos penggalak) diberikan kepada warga emas dan individu yang mempunyai komorbiditi yang serius.
‘Untuk keseluruhan populasi tak banyak negara yang luluskan atau tidak ada,” ujarnya.
