1,443 kes baharu di Singapura

SINGAPURA 26 Sept. – Selepas merekodkan 1,650 kes kelmarin, Singapura pada Sabtu melaporkan 1,443 kes baharu Covid-19 setakat pukul 12.00 tengah hari semalam menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 85,949.

Terdapat 1,424 jangkitan tempatan yang terdiri daripada 1,053 kes dalam masyarakat dan 371 penghuni asrama pekerja , termasuk 280 warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), sebanyak 19 kes import juga dilaporkan di samping tiga kematian disebabkan oleh Covid-19, menjadikan keseluruhan angka korban sebanyak 76.

Kes kematian pertama melibatkan seorang lelaki, rakyat Singapura berusia 62 tahun yang diuji positif bagi Covid-19 pada 6 September dan meninggal dunia akibat komplikasi virus itu pada Sabtu.

Beliau sudah menerima satu dos vaksin Covid-19 dan mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi dan hiperlipidaemia.

Kes kematian kedua, seorang rakyat Singapura berusia 71 tahun yang diuji positif bagi Covid-19 pada 8 September. Beliau meninggal dunia akibat komplikasi akibat Covid-19 pada 24 September.

Kes ini  sudah menerima vaksin Covid-19 dan mempunyai sejarah menghidap fibirilasi atrium, tirotoksikosis dan hiperlipaemia di samping usia lanjutnya.

Kematian ketiga juga rakyat Singapura, wanita berusia 71 tahun yang meninggal dunia disebabkan komplikasi akibat Covid-19 pada Sabtu.

Wanita itu belum mendapatkan vaksin Covid-19 dan mempunyai sejarah menghidap penyakit kencing manis, kegagalan buah pinggang tahap terakhir, darah tinggi dan hiperlipidaemia.

Menurut MoH lagi, sebanyak 1,142 pesakit dimasukkan ke hospital. Kebanyakannya dalam keadaan baik dan di bawah pemantauan.

Terdapat 165 kes jangkitan teruk yang memerlukan bantuan oksigen tambahan, manakala 27 berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).

Dalam kalangan mereka yang jatuh sakit teruk adalah 158 warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas.

Sepanjang 28 hari lalu, 97.9 peratus daripada kes tempatan tidak mengalami simptom atau hanya mengalami gejala ringan.

Terdapat 326 kes yang memerlukan bantuan oksigen tambahan, 37 dirawat di ICU dan dalam kalangan kes itu, 52.9 peratus sudah lengkap divaksin dan 47.1 peratus sudah menerima satu dos vaksin atau belum divaksin.

Related posts

Leave a Comment