Cuti tiga hari lonjak kes

SEOUL 25 Sept. – Kes harian Covid-19 di Korea Selatan mencecah 3,000 buat pertama kali hari ini ketika penularan yang berpunca daripada cuti tiga hari pada minggu ini terus meningkat.

Menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) hari ini, negara itu

melaporkan 3,273 kes semalam, sehari selepas mencatatkan jumlah rekod kes harian.

Dalam kalangan kes baharu itu, 3,245 kes adalah jangkitan tempatan dan 28 merupakan kes import, menjadikan keseluruhan kes Covid-19 di Korea Selatan sebanyak 298,402 dengan 2,441 kematian.

Lebih 77 peratus daripada jangkitan tempatan itu berasal dari Seoul dan kawasan berhampiran ibu negeri itu, di mana separuh daripada 52 juta penduduk Korea Selatan tinggal.

Kadar korban dan kes-kes serius kekal rendah dan stabil, masing-masing pada 0.82 peratus dan 339, dibantu oleh vaksinasi yang mengutamakan warga emas yang berisiko tinggi mengalami jangkitan teruk Covid-19.

.Menurut KDCA, jumlah ujian koronavirus yang dijalankan melonjak lebih 50 peratus kepada 227,874 berbanding minggu sebelumnya.

Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai yang pulang daripada bercuti selama tiga hari itu supaya menjalani ujian Covid-19 meskipun jika mereka mengalami simptom paling ringan terutama sekali sebelum pulang ke tempat kerja.

Jumlah kes harian mungkin terus meningkat dan memuncak menjelang minggu depan sedang lebih ramai orang menjalani ujian setelah pulang daripada bercuti.

Sebanyak 73.5 peratus daripada 52 juta penduduk Korea Selatan sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin setakat Khamis dan hampir 45 peratus penduduk sudah lengkap divaksin.

Related posts

Leave a Comment