Singapura lapor 1,178 kes, 3 kematian

SINGAPURA 22 Sept. – Singapura melaporkan 1,173 kes baharu jangkitan tempatan Covid-19 setakat tengah hari semalam serta lima kes import dan tiga lagi kematian menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 79,899 orang serta 65 kematian.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), jumlah kes harian tempatan merangkumi 1,038 kes dalam masyarakat dan 135 penghuni asrama pekerja.

Kes kematian pula melibatkan lelaki berusia 74 tahun yang meninggal dunia pada Ahad, 19 September serta wanita berusia 62 tahun dan lelaki 83 tahun yang meninggal dunia pada 20 September.

Lelaki pertama telah menerima dos pertama vaksin, mempunyai sejarah penyakit buah pinggang kronik, kencing manis melitus, tekanan darah tinggi dan tahap kolestrol tinggi dalam darah.

Wanita berkenaan pula mempunyai sejarah tekanan darah tinggi dan tahap kolestrol tinggi dalam darah sementara seorang lagi lelaki yang sudah divaksin mempunyai sejarah penyakit penghalang pulmonari kronik, pneumonia aspirasi berulang, tekanan darah tinggi dan tahap kolestrol tinggi dalam darah.

Menurut MoH, terdapat 1,109 pesakit dimasukkan ke hospital dengan kebanyakan daripada mereka dalam keadaan baik dan daripada jumlah itu, 147  memerlukan bantuan oksigen tambahan dan 17 dalam keadaan tenat di unit jagaan rapi (ICU).

Dalam kalangan pesakit yang tenat, 135 adalah warga emas,  60 tahun ke atas

Sepanjang 28 hari lalu, 97.9 peratus kes tempatan tidak bergejala atau mengalami simptom ringan.

Terdapat 246 kes yang memerlukan bantuan oksigen dan 23 kes berada di ICU

di mana 54.3 peratus sudahpun lengkap divaksin dan 45.7 peratus sama ada belum divaksin atau sudahpun disuntik satu dos vaksin.

Sementara itu, kluster Pusat Pendidikan LearnJoy mempunyai 10 kes meliputi seorang kakitangan dan sembilan murid, Kluster di My Little Campus di Yishun pula mencatatkan lima jangkitan baharu dan kesemuanya sebanyak 24 kes dilaporkan iaitu dua kakitangan, 20 murid dan dua anggota keluarga kepada kes-kes.

Kluster di Pfizer Asia Pacific pula meningkat kepada 37 kes selepas lima kes baharu jangkitan dilaporkan semalam manakala 10 kes baharu dilaporkan dalam kluster

Dormitori Blue Stars, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan di sana 133.

Bagi vaksinasi pula, setakat Isnin, sebanyak 82 peratus penduduk Singapura sudahpun selesai  vaksinasi penuh atau menerima dua dos vaksin Covid-19 manakala 84 peratus sudahpun mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos.

Lebih 8.97 juta dos vaksin sudahpun disuntik di bawah program vaksinasi nasional, meliputi sekitar 4.57 juta orang dengan 4.45 juta sudahpun menyelesaikan rejimen penuh dua dos.

Related posts

Leave a Comment