334 kematian baharu Covid-19

PUTRAJAYA 22 Sept. – Sebanyak 334 kematian akibat jangkitan Covid-19 termasuk kes tertunggak dilaporkan setakat tengah malam tadi.

Jumlah itu turut merangkumi sejumlah kes yang ada antaranya meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Tunggakan kes itu berlaku kerana proses bagi mengesahkan sama ada pesakit Covid-19 meninggal dunia akibat wabak itu memakan masa.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 24,078 kes, daripada 2,127,935 kes positif Covid-19 yang dikesan di negara ini.

Data Kementerian Kesihatan (KKM) di portal COVIDNOW memaklumkan, sejumlah 84 daripada 324 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital (BID).

Jumlah keseluruhan BID adalah sebanyak 4,648 kes.

Daripada 334 kes kematian, 205 daripadanya di Lembah Klang dengan Selangor mencatat 187 kes dan Kuala Lumpur 18 kes.

Diikuti Johor (37), Kelantan (20), Sabah (14), Perak (12), Sarawak (10), Kedah (lapan), Pahang (tujuh), Pulau Pinang (tujuh), Terengganu (enam), Negeri Sembilan (lima) dan Melaka (tiga).

Tiada kematian di tiga negeri iaitu Perlis, Labuan dan Putrajaya.

Portal COVIDNOW setakat ini juga menunjukkan seramai 18,786,636 atau 57.5 peratus daripada populasi negara lengkap vaksin, manakala 22,223,652 orang atau 68 peratus mempunyai sekurang-kurangnya satu dos.

Related posts

Leave a Comment