Kanak-kanak kes indeks Lungkidau

KOTA KINABALU 22 Sept. – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dikesan menjadi kes indeks bagi satu kluster baharu iaitu Kluster Lungkidau di Ranau yang setakat ini melibatkan 134 kes jangkitan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata ia dikesan hasil daripada saringan pra kemasukan wad pada 7 September lalu sebelum bapa kepada kes indeks juga didapati positif Covid-19 hasil saringan pengiring kemasukan wad pada hari yang sama. 

Dalam kenyataannya malam tadi, beliau berkata, siasatan awal mendapati bapa kepada kes indeks mempunyai rekod menghadiri mesyuarat dan gotong-royong membersihkan lot tanah penanaman sawit di Mukim Paginatan.

Selain itu, dia juga terlibat dalam beberapa aktiviti melibatkan perkumpulan orang, gotong-royong pembaikan jambatan di Kampung Lungkidau dan merintis jalan laluan utama kereta untuk masuk ke kawasan perkuburan.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 negeri berkata saringan kontak rapat dijalankan mulai 7 hingga 20 September  melibatkan 177 orang.

Sementara itu, sebanyak 1,291 kes positif Covid-19 direkodkan semalam  menjadikan jumlah kumulatif 188,123 kes, dan 1,837 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif 164,380 orang, manakala 3,888 pesakit sedang mendapatkan rawatan.

Katanya, lebih 1.94 juta atau 70.6 peratus penduduk dewasa, dan 124,393 atau 29.2 peratus penduduk remaja Sabah telah menerima suntikan pertama vaksin Covid-19.

 

Related posts

Leave a Comment