Giliran Tioman, Genting Highlands, Melaka

KUALA LUMPUR 21 Sept. – Selepas kejayaan gelembung pelancongan di Pulau Langkawi, kerajaan bersetuju untuk membuka tiga destinasi pelancongan dalam tempoh terdekat ini yang meliputi Pulau Tioman, Genting Highlands dan Melaka.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri, perkara tersebut antara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 di Parlimen.

Kerajaan menyasarkan tempoh pembukaan destinasi baharu itu pada 1 Oktober tetapi tempoh dua minggu akan diberikan kepada operator pelancongan untuk membuat persiapan rapi terutamanya membabitkan aspek pematuhan SOP.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Kanan Pertahanan Hishamuddin Hussein dan Menteri Belia Dan Sukan, Faizal Azumu di sini, hari ini.

Menurut Nancy, langkah itu berikutan prestas baik yang dipamerkan pada fasa pembukaan Pulau Langkawi yang telah dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong sejak 16 September lalu.

Selain daripada aspek pematuhan SOP, jumlah pelancong ke pulau lagenda itu turut menunjukan prestasi memberangsangkan.

“Ketibaan penerbangan di Langkawi sejak 16 hingga 19 September merekodkan sejumlah 6,622 pelancong dan jumlah pelancong (yang tiba) melalui feri adalah 3,483 orang. Ini adalah angka yang kita perolehi secara tepat,” tambahnya.

Related posts

Leave a Comment