85,076 remaja divaksin

PUTRAJAYA 20 Sept. – Seramai 85,076 remaja sudah divaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang sudah dimulakan di Labuan, Sabah, Sarawak, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Menurut beliau, setakat ini tiada kesan sampingan serius yang dilaporkan dalam kalangan mereka.

Khairy berkata, PICK Remaja menyasarkan 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun untuk diberikan suntikan vaksin dan sehingga 15 September lalu, pihaknya sudah memberi kelulusan kepada semua remaja dalam lingkungan usia berkenaan untuk mendapatkannya.

“PICK Remaja ini penting sebagai persediaan untuk pembukaan sekolah pada Oktober ini, dengan keutamaan diberikan kepada pelajar peperiksaan.

“Jika sesebuah kawasan itu mempunyai sedikit bekalan vaksin, kita sarankan PICK itu dimulakan bagi remaja berusia 16 dan 17 tahun, manakala bagi kawasan yang vaksinnya mencukupi, kita membenarkan semua remaja mendapatkannya,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas pelancaran PICK) Remaja di SMK Presint 8 (1) di sini, hari ini, beliau berkata, beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada yang sedang beroperasi akan digunakan bagi pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada pelajar sekolah.

Katanya , ia adalah antara dua kaedah yang akan digunakan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tujuan itu, selain secara jangkau luar di sekolah.

Mengenai trend peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan remaja berusia di bawah 18 tahun, Khairy menyifatkan ia sebagai membimbangkan.

Katanya, sehingga 16 September lalu, sebanyak 400,668 kes dilaporkan dalam kalangan remaja, berbanding 12,620 kes pada tahun lalu, dan daripada jumlah itu, 252,569 kes membabitkan murid sekolah dan 42,831 kes membabitkan kanak-kanak prasekolah.

“Sebanyak 62 kematian dalam kalangan kanak-kanak dilaporkan pada tahun ini, berbanding enam kematian pada 2020.

“Justeru, kita setuju untuk memberikan vaksin kepada remaja, bukan hanya disebabkan vaksin ini selamat dan berkesan, tetapi kita juga khuatir peningkatan kes dan apabila sekolah dibuka, kita mahu memberi perlindungan kepada mereka,” katanya.

Mengenai kegusaran ibu bapa bagi kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun yang akan masuk ke sekolah, Khairy berkata, cara yang paling berkesan setakat ini adalah dengan memastikan persekitaran sekolah dan institusi pendidikan berkaitan selamat untuk kanak-kanak.

“Strategi yang digunakan adalah dengan memberi vaksin kepada semua petugas di institusi itu termasuk guru, pengendali dan mereka yang bekerja di sana, selain mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sehingga kita mendapat kelulusan untuk memberi vaksin kepada kanak-kanak,” katanya.

Related posts

Leave a Comment