Dos ketiga selepas 80% vaksinasi

PUTRAJAYA 19 Sept. – Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 selepas liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara mencapai 80 peratus, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, keutamaan pemberian dos ketiga ini akan tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun (immunocompromised), warga tua dengan komorbiditi.

Selain itu, tambah beliau, dos ketiga itu juga akan meliputi individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang (long-term care facilities).

“Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19 yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.

“Untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini,” jelas Ismail Sabri dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata, kesemua perincian berhubung pelaksanaan Pakej Penjagaan Covid-19 serta pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Related posts

Leave a Comment