21.7 juta terima dos pertama

PUTRAJAYA 17 Sept. – Setakat malam tadi, sejumlah 21,783,871 individu atau 66.7 peratus daripada lebih 32 juta populasi di negara ini sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) pada masa yang sama, sebanyak 17,973,545 individu atau 55 peratus daripada populasi negara sudah mendapat suntikan lengkap vaksin.

Semalam, sebanyak 202,298 dos vaksin Covid-19 diberikan di seluruh negara

yang meliputi 62,108 adalah dos pertama, manakala 140,190 dos lagi suntikan lengkap vaksin berkenaan.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan suntikan yang sudah diberikan adalah 39,685,414.

Berdasarkan kapasiti suntikan vaksin pada jumlah sekitar 200,000 dos sehari, KKM mengunjurkan Malaysia mampu mencapai imuniti kelompok, iaitu 80 peratus daripada keseluruhan penduduk lengkap divaksin, menjelang 12 Disember depan.

Sehingga semalam, Lembah Klang (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) merekodkan jumlah penerima vaksin dan menghampiri imuniti kelompok apabila lebih 6.47 juta atau 76.9 peratus daripada penduduknya menerima dos lengkap.

Ia disusuli Labuan 66,909 atau 67.2 peratus, Negeri Sembilan 741,865 atau 67.2 peratus, Sarawak 1.81 juta atau 64.5 peratus dan Perlis 147,579 atau 57.9 peratus.

Enam negeri pula masih merekodkan jumlah penerima lengkap vaksin di bawah 50 peratus, berbanding populasi keseluruhan, iaitu Johor 47.5 peratus, Perak 42.8 peratus, Pahang 41.7 peratus, Kedah 41.2 peratus, Sabah 37.4 peratus dan Kelantan 35.9 peratus.

Related posts

Leave a Comment