Singapura lapor 832 kes masyarakat

SINGAPURA 15 Sept. – Singapura melaporkan 832 kes tempatan baharu Covid-19 setakat 12 tengah hari semalam (14 Sept.), yang terdiri daripada 755 kes dalam masyarakat dan 77 penghuni dormitori.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), lima kes import juga dilaporkan, menjadikan jumlah jangkitan harian yang direkodkan di Singapura sebanyak 837 kes manakala jumlah keseluruhan kes pula 73,131.

Dalam kalangan kes tempatan itu, sebanyak 231 adalah warga emas yang berusia 60 tahun ke atas.

Dua kluster besar turut dikesan di All Saints Home di Jurong East dan juga asrama pekerja asing yang terletak di 11 Tuas Avenue 10.

Kluster rumah jagaan itu melaporkan 10 kes yang melibatkan sembilan penghuni dan seorang lagi adalah kakitangan rumah jagaan itu.

Kluster asrama pula mempunyai 21 kes yang melibatkan penularan dalam kalangan penghuni asrama berkenaan dan 19 kes baru sudahpun dikuarantin

Untuk rekod, MoH kini memantau 14 kluster aktif.

Sementara itu, tiga kes import dikesan sebaik tiba di Singapura, dengan dua daripadanya terjangkit semasa menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau tempoh pengasingan.

MoH juga memaklumkan 809 pesakit sedang dirawat di hospital, yang kebanyakannya dalam keadaan sihat dan daripada jumlah tersebut, 75 kes penyakit serius memerlukan bantuan oksigen dan sembilan dalam keadaan tenat di unit jagaan rapi (ICU).

Sebanyak 66 daripada mereka yang sakit teruk adalah warga emas yang berusia 60 tahun ke atas.

Related posts

Leave a Comment