128 kes baharu di Brunei Darussalam

BERAKAS 12 Sept. – Brunei Darussalam hari ini merekodkan dua kematian, 128 kes baharu Covid-19 dan enam kluster baharu yang menjadikan jumlah keseluruhan 17 kematian, 4,163 kes dan 69 kluster.

Menteri Kesihatan, Dr Md Isham Jaafar berkata, kematian melibatkan seorang lelaki berusia 30 tahun yang mengalami masalah paru-paru selepas dijangkiti Covid-19 manakala kes kedua wanita 54 tahun yang mengalami beberapa masalah kesihatan.

Bagaimanapun kematian wanita berkenaan tidak dikategorikan sebagai kematian Covid-19.

Menurut Dr. Md Isham, kluster baharu iaitu Kluster 2629 merekodkan enam kes; Kluster 3096 (9 kes), Kluster 3965 ( 5 ) ; Kluster 3748 ( 7 ); Kluster 3733 (10) dan Kluster 4043 ( 7 ).

Katanya, semua kes kluster baharu ini termasuk kes yang sebelum ini tidak diketahui punca jangkitannya.

Di samping itu terdapat 59 kes tambahan melibatkan 11 kluster aktif di mana mereka yang terlibat adalah individu yang dikuarantin selepas mempunyai kontak dengan kes-kes sebelum ini.

Sebanyak 106 kes lagi masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Sementara itu sebanyak 106 kes telah disahkan sembuh pada hari ini termasuk 32 kes positif dalam Kategori 1 yang telah membuat pengasingan diri selama 14 hari di rumah masing-masing.

Jumlah kes sembuh di Brunei Darussalam meningkat kepada 2,647 kes dengan jumlah kes aktif 1,491 kes.

Dalam kalangan kes aktif tersebut, 11 dalam keadaan kritikal di mana 10 daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) manakala satu  lagi memerlukan bantuan mesin tambahan ‘heart / lung machine’ (ECMO).

Sementara itu, 27 kes lain yang dikategorikan dalam Kategori 4 sekarang ditempatkan di Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi.

Related posts

Leave a Comment