15,197 kes, 253 kematian Thailand

BANGKOK 11 Sept. – Thailand merekodkan 15,191 kes baharu Covid-19 dan 253 lagi meninggal dunia yang membawa kepada jumlah keseluruhan kes setakat ini 1,368,144 dan 14,173 kematian.

Daripada jumlah kes harian itu, sebanyak 14,465 adalah kes melibatkan orang awam dan 726 dalam kalangan banduan.

Bagi kes sembuh pula, semalam, sebanyak 18,721 lagi pesakit dibenarkan keluar hospital selepas pulih daripada jangkitan Covid-19.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), kes kematian melibatkan individu berumur 18 hingga 98 tahun yang turut melibatkan 249 warga Thailand dan seorang masing-masing warga Myanmar dan Kemboja manakala tiada maklumat bagi dua kes lagi.

Bangkok terus merekodkan kematian tertinggi iaitu 111 orang atau 43.8 peratus, dan juga masih mendahului jumlah kes jangkitan dengan 3,364 kes.

Turut merekodkan kes yang tinggi adalah Samut Prakan 1,308, Chonburi 991, Samut Sakhon 643, Ratchaburi 629 dan Songkhla 473.

Sehingga semalam, 137,859 orang menerima rawatan Covid-19 termasuk 4,168 yang  kritikal di mana 875 memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment