Aktiviti di gerai cetus Kluster Rapak

KOTA KINABALU 10 Sept. – Kluster Rapak yang dicetuskan hasil aktiviti berkumpul di gerai di sebuah kampung dekat Ranau mengesan 42 kes Covid-19, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah itu berkata, Kluster Rapak yang dikategorikan kluster komuniti tercetus dipercayai berpunca daripada wanita warga emas yang turut berkumpul di gerai dekat simpang kampung berkenaan.

Kes indeks adalah seorang wanita berusia 81 tahun yang juga pemilik bangunan gerai terbabit. Kes indeks sering melawat di gerai sub-indeks sebelum mula bergejala batuk, selesema dan sakit dada sejak 22 Ogos lalu.

Menurut Masidi, kes indeks disahkan positif Covid-19 di sebuah klinik swasta pada 23 Ogos dan selepas itu duduk di rumah saja sebelum mendapatkan rawatan susulan pada hari berikutnya.

Dalam kenyataannya, Masidi yang juga Menteri Kewangan II berkata, menerusi saringan kontak rapat dijalankan pada 31 Ogos hingga 4 September, Jabatan Kesihatan Sabah mengesan 21 lagi kes.

Katanya, saringan kontak rapat yang diteruskan pada 8 September mengesan 20 kes lagi positif, menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 42 kes.

Beliau turut berkata, jumlah kes harian Covid-19 di Sabah kekal mencatatkan sebanyak empat angka iaitu 2,298 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 167,737 kes.

Sebanyak 22 kes kematian dilaporkan semalam iaitu tiga kes di Sandakan, Lahad Datu, Tawau dan Kudat, dua kes di Penampang, Semporna, Keningau dan Kota Kinabalu manakala Tenom dan Ranau masing-masing mencatatkan satu kes.

Bilangan kes sembuh ialah 3,154 menjadikan jumlah kumulatif 141,230 orang.

Related posts

Leave a Comment