81 % di Singapura siap vaksinasi

SINGAPURA 10 Sept. – Lebih 8.8 juta dos vaksin Covid-19 sudah diberikan di bawah program vaksinasi negara setakat Rabu, 8 September yang meliputi lebih 4.5 juta individu dengan 4.3 juta sudahpun melengkapkan rejim vaksin sepenuhnya.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), terdapat 175,027 dos vaksin lain yang diiktiraf dalam senarai kegunaan darurat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut diberikan kepada 86,379 individu.

Secara keseluruhannya, 81 peratus penduduk Singapura sudahpun selesai rejimen vaksinasi sepenuhnya atau sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 dan 83 peratus sudah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos.

Setakat semalam, Singapura melaporkan jumlah terkumpul sebanyak 70,039 kes jangkitan Covid-19 dan 157 kematian akibat jangkitan penyakit itu.  

Sementara itu, kluster baharu dikenal pasti pada Khamis, termasuk di Hu Lee Impex dan Sembcorp Marine Tuas Boulevard Yard masing-masing dengan 22 dan 32 kes.

MOH sedang memantau dengan teliti sebanyak 11 kluster besar secara keseluruhannya termasuk lima yang berhubung kait dengan pusat-pusat pertukaran bas di Toa Payoh, Tampines, Boon Lay, Punggol dan Jurong East. Terdapat 16 kes baru yang dikaitkan dengan pusat-pusat pertukaran bas pada Khamis.

Kluster besar yang lain adalah di pusat beli-belah Bugis Junction, Hospital Besar Changi, dormitori North Coast Lodge dan sebuah tapak binaan di 30 Sunview Way.

MoH juga melaporkan, seorang lelaki berusia 62 tahun, belum divaksin menjadi kes kematian ke-57 akibat jangkitan Covid-19 di Singapura.

Lelaki itu meninggal dunia pada Isnin, 6 September dan mempunyai sejarah penyakit barah dan bronkiektasis, iaitu sejenis keadaan paru-paru.

Related posts

Leave a Comment