Jumlah kumulatif 1,900,467 kes

PUTRAJAYA 8 Sept. – Tiga hari berturut-turut, kes baharu Covid-19 berada pada angka di bawah 20,000 kes selepas merekodkan 19,733 kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sehingga ini adalah 1,900,467 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 361 kematian direkodkan, menjadikan jumlah kumulatif  kini 19,163 di mana 102 kes merupakan BID (Brought In Dead) dengan melibatkan 71 warganegara.

Katanya, daripada 19,733 kes harian yang dilaporkan pada Rabu, hanya 2.2 peratus atau 429 kes adalah kategori 3, 4, dan 5.

“Manakala 19,304 kes (97.8 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” ujarnya.

Daripada pesakit kategori 1 dan 2, 64.7 peratus daripada mereka tidak pernah menerima vaksin atau tidak lengkap vaksinasi dan hanya 35.3 peratus sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

Manakala daripada pesakit kategori 3 hingga 5 pula, 77.2 peratus daripada mereka tidak pernah menerima vaksin atau tidak lengkap vaksinasi dengan hanya 22.8 peratus sudah lengkap divaksin.

“Situasi ini jelas menunjukkan mereka yang lengkap divaksinasi adalah lebih terlindung dan juga kurang berisiko mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk. Perkembangan positif ini dapat terus dilihat sekiranya Malaysia telah mencapai kadar vaksinasi yang lebih tinggi.

Kepada mereka yang belum mengambil vaksin Covid-19, adalah dinasihatkan untuk segerakan pengambilan vaksin bagi melindungi orang di sekeliling daripada kemungkinan dijangkiti Covid-19.

“Pada masa yang sama masyarakat diingatkan untuk terus mematuhi SOP bagi mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19,” katanya.

Related posts

Leave a Comment