Lembah Klang masuki Fasa 2 PPN

PUTRAJAYA 8 Sept. – Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya memasuki Fasa 2, Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai Jumaat ini, 10 September, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Berikutan itu, mulai hari berkenaan, penduduk di Lembah Klang yang sudah melengkapkan vaksinasi masing-masing sudah boleh merentas sempadan daerah.

Pada masa yang sama, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 turut memutuskan Selangor, Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya digabungkan sebagai satu kawasan jangkitan yang sama.

“Maka, pergerakan antara negeri-negeri ini adalah dibenarkan dan tiada lagi sekatan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri, berkata ketiga-tiga negeri dan Wilayah Persekutuan itu akan menikmati kelonggaran sama dengan negeri-negeri yang sudah memasuki Fasa 2 sebelum ini.

“Dine-in (makan di kedai) dibenarkan di premis makanan untuk pelanggan yang lengkap menerima dua dos vaksin dan aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama membabitkan penginapan di hotel dan ‘homestay’ bagi individu yang lengkap dua dos,” katanya.

Kerajaan turut bersetuju untuk melonggarkan SOP bagi aktiviti sukan, riadah dan rekreasi di Lembah Klang.

“Antara ketetapan yang telah diputuskan ialah membenarkan aktiviti sukan indoor, kecuali gimnasium, kepada individu yang telah lengkap dua dos vaksin. Fasiliti sukan dan rekreasi komersil tertutup (indoor) dibenarkan beroperasi dengan kawal selia, hanya kepada pelanggan yang telah lengkap divaksin,” katanya.

Bagaimanapun tambahnya, penggunaan fasiliti perlu dilakukan secara janji temu dan pematuhan SOP.

Selain itu, sektor perdagangan dan pengedaran turut dibenarkan beroperasi pada 10 September ini. Ia melibatkan perniagaan kedai bunga atau nursery, kedai peralatan outdoor dan galeri perumahan.

Related posts

Leave a Comment