KDN bukan hanya jaga SOP

YAN 5 Sept. – “Kerja kami bukan hanya jaga SOP,”. Itu penegasan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) lebih-lebih lagi apabila semakin banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat.

Katanya, semua pihak harus bersama memainkan peranan dengan menjadikan amalan mematuhi SOP sebagai perkara biasa, apatah lagi apabila wabak Covid-19 diumumkan sebagai endemik.

“Kami nak juga lihat dari segi kehidupan agar ia benar-benar seimbang. Kalau kami hanya kerja nak sekat orang, kesalahan tak ikut SOP, itu sesuatu yang amat kecil.

“Biarlah kita mempunyai strategi yang lain menjaga sempadan, jaga tempat pintu masuk, jaga mereka yang cuba ceroboh bawa dadah dan sebagainya, begitu juga mereka yang cuba masuk melalui sempadan kita. Biar fokus kami kepada itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Hamzah berkata kerajaan juga tidak harus dipersalahkan sekiranya ada pihak tidak memainkan peranan dalam menjaga SOP termasuk majikan yang sepatutnya menjalankan tanggungjawab itu ke atas pekerja mereka.

“Saya bagi contoh, kalau kilang dibenarkan beroperasi, siapa yang sepatutnya menjaga SOP, pihak pengurusan, tetapi hari ini mengapa pulak kita salahkan kerajaan kerana tak menjaga SOP.

“Sepatutnya majikan yang mula jaga, kalau majikan jaga dan ada sesuatu yang kurang senang (dengan pelaksanaan SOP oleh majikan), laporkan kepada kerajaan dan kami akan hantar pasukan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata SOP yang lebih jelas dan mudah difahami akan dikeluarkan, selari peralihan Malaysia memasuki fasa endemik menjelang penghujung Oktober.

Beliau berkata, senarai SOP yang ‘menggunung’ sebelum ini dilihat banyak mengundang kekeliruan dan polemik dalam kalangan masyarakat.

“Kita akan mulakan usaha memurnikan SOP ini pada minggu depan dan akan dapat keluarkan senarai SOP yang lebih mudah untuk difahami menjelang akhir September.

Saya rasa sebelum ini terlalu banyak SOP secara pembahagian sektor dan terlalu khusus, sedangkan ia harus bersifat umum serta terpakai merentasi semua sektor.

“Selain itu, SOP ini harus jelas dengan menggariskan sekiranya pada fasa endemik, ada kawasan yang merekodkan kes penularan, maka kita rujuk kepada garis panduan kategori kedua dan seterusnya, bergantung kepada kadar jangkitan di tempat berkenaan.

“Sekarang, orang membuang masa merujuk senarai SOP yang panjang untuk mengetahui kedudukan masing-masing,” katanya.

Related posts

Leave a Comment