Kluster rentas negeri catat 18 kes

PUTRAJAYA 2 Sept. – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dikesan mencetuskan kluster baharu yang menjangkiti penghuni di beberapa pusat kebajikan di Kampung Bahru, Johor Bahru.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kluster Jalan Mariamah Lima itu sudah menjangkiti 43 individu dan semua dikesan positif Covid-19 hari ini.

Kluster ini membabitkan penghuni di beberapa pusat kebajikan di Jalan Mariamah 5, Kampung Bahru, Johor Bahru.

“Kes indeks bagi kluster ini adalah kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang dilaporkan positif Covid-19 hari ini hasil saringan individu bergejala. Kanak-kanak ini sudah menunjukkan gejala sejak 26 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kluster Jalan Mariamah Lima itu antara sembilan kluster komuniti yang dikesan hari ini.

Terdapat keseluruhan 31 kluster baharu dilaporkan iaitu 17 daripadanya membabitkan tempat kerja, kumpulan berisiko tinggi (empat) dan  institusi pendidikan (satu).

Terdapat satu kluster rentas negeri yang dikesan yang dikenali sebagai Kluster Kampung Baru Lipis yang sehingga kini sudah menjangkiti 18 kes termasuk lima kes baharu hari ini.

Kes indeks bagi kluster ini adalah lelaki berusia 19 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 26 Ogos lalu hasil saringan individu bergejala. Kes ini sudah mula bergejala pada 22 Ogos lalu.

“Kes ini turut mempunyai sejarah rentas negeri dari Selangor pada 20 Ogos dan nama kluster merujuk kepada penularan kes dilaporkan iaitu di Kampung Baru Tanjung Lipis, Kuala Lipis,” katanya.

Related posts

Leave a Comment