Selamat Hari Kebangsaan

KUALA LUMPUR 31 Ogos – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak seluruh rakyat sebagai sebuah Keluarga Malaysia untuk bersama-sama membulatkan tekad bagi memulihkan negara, sempena Hari Kebangsaan ke-64 yang disambut esok.

Perdana Menteri berkata, situasi pandemik COVID-19 yang dihadapi negara pada hari ini, adalah cabaran yang belum pernah ditempuhi mana-mana kepemimpinan dan kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, beberapa cabaran serentak, iaitu wabak penyakit dan kegawatan ekonomi, menyebabkan kestabilan politik negara dan di seluruh dunia tergugat.

“Sempena Hari Kemerdekaan ini, kita perlu terus berjuang memerangi pandemik COVID-19 sebagai musuh yang paling utama.

Kejayaan ini akan membolehkan kita membuka jalan pemulihan ekonomi negara dalam norma baharu.

“Ekonomi wajar dipulihkan, kesejahteraan rakyat perlu ditingkatkan, manakala keyakinan pelabur harus dikembalikan,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Hari Kebangsaan Negara ke-64, malam tadi.

Sambutan Hari Kebangsaan bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya bermula jam 8 sehingga 8.50 pagi ini, disiarkan secara langsung menerusi semua stesen penyiar tempatan.

Siaran langsung itu memaparkan penggunaan elemen teknologi terkini berkonsepkan ‘mix reality’, iaitu gabungan penerbitan secara fizikal, teknologi AR (Augmented Reality) dan juga XR (Extended Reality) berbentuk interaktif dan berteknologi tinggi.

Dalam perutusan itu juga, Perdana Menteri mengajak seluruh Keluarga Malaysia agar segera mendapatkan vaksin sebagai satu ikhtiar dalam menyokong pemulihan negara.

Katanya, vaksin sudah terbukti memberi impak positif, terutama dalam usaha memerangi wabak berkenaan.

“Berpandukan data dan fakta, yakinlah bahawa hanya melalui kerjasama penuh daripada semua pihak, peperangan melawan pandemik COVID-19 akan berakhir dengan kemenangan,” tegasnya.

Perdana Menteri juga amat berharap, hasil kerjasama seluruh lapisan masyarakat, sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini menjadi yang terakhir disambut dalam suasana peperangan melawan pandemik COVID-19.

“Marilah kita memerdekakan negara kita daripada pandemik ini, daripada kegawatan ekonomi dan daripada ketidakstabilan politik,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri dengan penuh keinsafan dan kesyukuran mengajak semua pihak menyusuri sejarah perjuangan bangsa mempertahankan kemerdekaan dan merebut kembali tanah air selepas dijajah oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun.

Beliau berkata, walaupun ia sering diperkatakan, namun sesuatu yang penting perlu diulang-ulang supaya sentiasa terpahat dalam fikiran terutama dalam kalangan generasi muda.

“Dalam mempertahan dan memperjuangkan kemerdekaan negara ini, ia telah menumpahkan air mata, keringat dan darah para pejuang yang bukan sedikit. Bermula dengan runtuhnya Kerajaan Melaka di tangan kekuasaan Portugis pada tahun 1511.

“Sejak itu, peta pemerintahan dan kekuasaan kita mula dirobekkan oleh penjajah Barat. Ratusan perjuangan yang ditandai peperangan, perundingan, dan pengorbanan telah memakan masa selama 446 tahun.

“Ia terpaksa dihadapi demi mengembalikan semula kemerdekaan tanah air ini,” katanya.

Beliau berkata, bukan sedikit pahlawan negara yang gugur dan terkorban dalam mencapai dan mempertahankan kemerdekaan dan sumbangan mereka terutama anggota keselamatan, tentera dan polis sejak dahulu sehingga kini amat dihargai.

“Saya perlu menyebut beberapa fakta sejarah tadi kerana setiap negara yang mahu bangkit daripada sebarang kemelut perlu mengenali sejarah. Individu yang mengenali sejarah akan memiliki jati diri yang kukuh dan saling menghormati.

“Yang paling utama ialah, mereka akan memiliki fikiran yang fokus dalam mengatasi apa pun cabaran sebagai sebuah keluarga besar, Keluarga Malaysia,” katanya.

(Petikan BH)

Related posts

Leave a Comment