Vaksin: DAP lapor polis

TANJONG 21 Mei – DAP Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap individu yang kononnya menawarkan sumbangan vaksin Covid-19 keluaran Sinovac untuk Pulau Pinang, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata individu yang dinamakan sebagai Yong Chee Kong dilaporkan dalam media tempatan bahawa syarikatnya wujud, namun Chow menafikan DAP negeri pernah menulis surat kepada Yong.

“Ini adalah satu dakwaan yang amat berat dan tidak berasas. DAP Pulau Pinang tidak pernah menulis surat seperti didakwa, dan satu laporan polis telah dibuat oleh pihak DAP Pulau Pinang di Balai Polis Jalan Patani hari ini.

“Tawaran sumbangan dua juta dos vaksin kepada Pulau Pinang telah menjadi satu kontroversi yang menyimpang daripada tujuan asal pihak kerajaan negeri membangkitkan perkara berkenaan pada sidang media sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chow berkata kerajaan negeri tidak berhasrat untuk berperang mulut dengan mana-mana pihak termasuk kerajaan persekutuan, selain berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung urusan siasatan kelak.

Sementara itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pulau Pinang pada 19 Mei lepas telah berbincang mengenai kontroversi itu dan memutuskan tumpuan diberikan terhadap pendekatan terbaik memperoleh bekalan vaksin secepat mungkin bagi memenuhi permintaan rakyat.

Justeru, MMK telah memutuskan menggunakan dana kerajaan negeri bagi membeli vaksin tambahan untuk dihantar segera selain yang bakal dibekalkan oleh kerajaan persekutuan demi kepentingan serta kegunaan rakyat Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri mengulangi komitmen untuk mengetepikan perbezaan politik bagi menjayakan kempen melawan pandemik Covid-19” katanya yang turut memohon maaf kerana tercetusnya kontroversi ini.

Related posts

Leave a Comment