104 kes baharu di Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN 23 Ogos – Seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun yang menerima rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan selepas disahkan positif Covid-19 pada 22 Ogos lalu meninggal dunia hari ini.

Menteri Kesihatan, Dr Md Isham Jaafar berkata, kematian kes 1379 itu adalah disebabkan masalah jantung dan tidak dikategorikan sebagai kematian akibat Covid-19.

Bercakap pada sidang media situasi terkini Covid-19 Brunei Darussalam, beliau berkata, sebanyak 104 kes baharu Covid-19 direkodkan yang membawa kepada jumlah keseluruhan meningkat kepada 1,873 kes. Satu kluster baharu juga dikesan.

Dr. Md Isham juga memaklumkan satu kluster baharu dikesan dan terdapat pertambahan kes bagi kluster aktif iaitu Kluster The Mall (5), Kluster Imigresen (3), Kluster Al-Falah/Freda-Radin (3); Kluster Semporna Enak (2).

Kluster Chung Hua KB (2); Kluster Champion 7– Platform (2); Kluster Dragon Boat (2); Kluster Samima (2); Kluster Jaya Hypermart (2) dan Kluster BSP HQ (Block M) (1).

Kluster baharu dikenali sebagai Kluster 418  direkodkan dengan 10 kes baharu yang terkait dengan kes 418 yang dilaporkan pada 19 Ogos lalu di samping terdapat 70 kes lagi yang sumber jangkitannya masih dalam siasatan.

Sebanyak 17 kes dilaporkan sembuh yang menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih 436 manakala kes aktif pula menunjukkan peningkatan dari 1,346 semalam kepada 1,432.

Dalam kalangan kes aktif itu, empat dalam keadaan kritikal, di mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan dan satu kes memerlukan bantuan mesin tambahan heart / lung machine (ECMO).

Sebanyak 27 kes lagi dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi bagi pemantauan rapi.

Sementara itu beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan bagi langkah-langkah pengawalan penularan wabak Covid-19 di negara ini.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak kunjung mengunjung atau melawat sanak saudara dan sahabat handai.

“Bagi orang tua yang tinggal bersendirian hanya dua ahli keluarga sahaja dibenar melawat, lebih-lebih lagi orang tua juga tidak digalakkan melawat anak dan cucu kerana ini menigkatkan risiko jangkitan dalam kalangan mereka,” katanya.

Bagi pekerja yang dibenarkan bekerja, mereka diingatkan tidak makan dan minum dalam kumpulan ramai.

Pemilik kedai runcit juga diingatkan supaya mengawal jumlah pengunjung di dalam kedai pada satu-satu masa manakala pengunjung perlu menunggu di luar jika keadaan di dalam kedai sibuk.

Related posts

Leave a Comment