Longgar bukan bermakna selamat

PUTRAJAYA 19 Ogos – Bukan bermakna selamat ! Itu ingatan yang cuba disampaikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berhubung kelonggaran beberapa kemudahan untuk individu lengkap vaksinasi di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok.

Ini kerana kelonggaran yang diberikan adalah atas faktor ekonomi dan bukan kerana persekitaran sudah selamat daripada jangkitan Covid-19.

Justeru Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai supaya terus memakai pelitup muka termasuk yang dua lapis jika perlu, mengamalkan penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan.

“Elak tempat sesak dan sempit. Jaga diri dan segera mengambil suntikan vaksin,” katanya menerusi Twitter, malam ini.

Perdana Menteri sementara, Muhyiddin Yassin sebelum itu mengumumkan aktiviti ‘dine-in’ atau makan di restoran dibenarkan kepada individu terbabit berkuat kuasa esok.

Kemudahan tambahan lain bagi negeri Fasa 1 dan seterusnya termasuk aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta operasi Pasar Malam dan Pasar Minggu.

Kemudahan tambahan itu diputuskan selepas mengambil kira perkembangan positif kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di seluruh negara yang sudah melebihi 50 peratus, lebih awal daripada sasaran iaitu 31 Ogos.

 

Related posts

Leave a Comment