Azizulhasni bawa pulang perak

TOKYO: Kilauan pingat Sukan Olimpik 2020 yang diharapkan dari basikal akhirnya menjadi kenyataan menerusi jaguh trek negara, Azizulhasni Awang dalam acara keirin lelaki yang berlangsung di Velodrum Izu pagi ini (waktu tempatan).

Dalam saingan akhir, Azizulhasni menamatkan perlumbaan di tempat kedua untuk membawa pulang pingat perak.

Tampil sebagai satu-satunya wakil Asia, beliau terpaksa akur di tangan pelumba Great Britain, Jason Kenny, yang mempertahankan emas yang dimenanginya di Olimpik Rio 2016.

Harie Lavreysen (Belanda) meraih gangsa.

Untuk rekod, Azizulhasni, 33, sebelum ini pernah meraih gangsa di Olimpik Rio 2016.

Sementara itu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melalui facebooknya mengucapkan tahniah kepada Azizulhasni. Berikut kenyataan itu…

Syabas “The Pocket Rocketman”

Tahniah buat jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang kerana menghadiahkan pingat perak buat Malaysia menerusi acara Keirin basikal trek, Sukan Olimpik Tokyo, sebentar tadi.

Kejayaan ini tentunya menambahkan keceriaan buat kontinjen negara sebelum temasya sukan tersohor ini melabuhkan tirainya.

Biar apa pun warnanya, kilauan pingat yang dikutip di pentas sukan terbesar ini tentunya memberi makna cukup signifikan buat anda dan juga negara apabila melihat Jalur Gemilang dinaikkan.

Seluruh rakyat Malaysia pastinya amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang anda tunjukkan. Saya turut merasa sayu melihat tangisan kemenangan sebentar tadi. Kami di Malaysia amat memahami perasaan serta kesukaran yang anda lalui sepanjang temasya ini. Terima kasih saya ucapkan atas segala pengorbanan anda demi negara.

Syabas juga kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Datuk Seri Reezal Merican, barisan kejurulatihan dan seluruh kontinjen Malaysia atas kejayaan ini.

Kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom pula, saya ingin katakan yang kegagalan mengiringi Azizulhasni ke peringkat akhir tidak seharusnya mematahkan semangat anda.

Iltizam dan semangat ‘Demi Malaysia’ yang dipamerkan apabila sanggup mengetepikan kesakitan yang dialami semasa di peringkat saringan dan suku akhir dengan sendirinya membuktikan anda adalah wira yang perlu disanjungi. Terima kasih Shah Firdaus.

Tahniah Azizulhasni!
Syabas Shah Firdaus!

 

 

 

Related posts

Leave a Comment